Wednesday 30 January 2013

~IMAN~antara KEPERCAYAAN & PENGHAYATAN???

Membina jati diri Muslim yang sejati,
harus bersikap teliti,bukan hanya ambil dan terus berdiri pasti,
Menjadi Insan yang terarah,
bila mana selalu dikunjungi anugerah, harus sentiasa bertambah rasa syukur dan merendah diri. Biar dilambung tinggi dan semakin tinggi, tapi hati harus sentiasa terisi dengan rasa rendah . Kerna suatu hari kita akan jatuh dan terhentak diam tanpa kata. Bukankah hidup ini umpama roda?
Bila rebah jangan lama -lama menadah pasrah.Pasrah yang bermakna adalah rasa pasrah yang digubah indah bersama 'IBRAH & HIKMAH.
NAMUN,
Walau berjuta kali bangkit dari rebah, itu bukanlah jaminan yang pasti bahawa kita akan kembali bangun berdiri tanpa palitan mahupun calitan kesalahan. Mencuba dan terus mencuba. Peluang dan ruang kita yang akan cipta tapi bukan dengan kekosongan tanpa sebarang isi. Maka, berjalan ke hadapan harus ada arah bukan menadah kosong keajaiban yang akan datang.

Rukun Iman yang enam harus kita genggami dan hadam. Bukan setakat hari ini, atau esok. Bahkan selama kita bernafas , ia harus hidup dan terus bernyawa seiring setiap detak nadi yang berdenyut.
Menjadi Muslim yang menggenggam Rukun Iman yang enam bukan hanya dengan KEPERCAYAAN. Silap dan amat besar kesilapan seseorang individu Muslim hanya ada KEPERCAYAAN sebagai tunjang kepada KEIMANAN mereka.
Andai hanya perlukan KEPERCAYAAN, siapa-siapa jua mampu melakukannya. Tidaklah kita dinamakan sebagai orang yang BERIMAN, andai IMAN ini tidak mampu mencerna UJIAN.
Beriman kepada 6 tunjang rukun IMAN, memerlukan kita mengadaptasi kisah kepercayaan kita dalam jejak kehidupan yang berliku. Tidak kiralah sama ada kita merangkak, berjalan mahupun berlari. Andai kita cukup pasti KEIMANAN ini adalah KEIMANAN yang sebenar, maka kita tidak akan cepat melatah pabila dianugerahi NIKMAT dan didesah NIQMAT.

Menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim, graf kehidupan ini beralun seiring bayu TAKDIR yang berlalu. Ada masa, ketinggiannya mencecah dada langit,membuatkan jalan cerita ini seperti alunan muzik yang mengasyikkan, adakalanya ia menjunam jatuh di dakapan bumi, sehingga malu untuk mengangkat muka walau mendongak sekilas pandang. Seringkali, ada iringan ketawa mengiringi kenangan semalam, termalu sendiri dengan perlakuan yang mencorak peribadi. Jauh panggang dari api. Konteks dakwah yang dijulang tinggi selama ini, capaiannya  masih lagi di permulaan, tidak bergerak ke mana-mana. Mengapa? Kerana mendidik diri sendiri juga tidak bisa, lalu bagaimana mahu mencorak suasana ataupun masyarakat Muslim.

Bukan PENYESALAN semata-mata yang kita mahukan, tapi biarlah ia hadir dengan KESEDARAN.
SEDAR akan kekurangan,
SEDAR untuk penambahbaikan,
SEDAR untuk mencipta kekuatan,
SEDAR untuk memimpin perpaduan.
Permulaannya adalah dari dalam diri, dalam masa yang sama ia dipatri dalam jiwa insan sekeliling yang juga sedang mencari.
Merenung ke hadapan itu adalah satu KEMESTIAN,
Menoleh ke belakang itu adalah satu KEPERLUAN,
Dua pandangan dalam satu keadaan.
Tak susah andai matlamat yang cuba dibina adalah untuk KEBAIKAN.

Proses PEMBAIKAN ini bukan mengambil masa sehari dua atau seminggu lebih. Ianya akan berjalan selama-lamanya, kerna SYURGA DAN REDHA ALLAH itu tidak dihargakan, maka usaha kita juga tidak boleh dinilai-nilaikan.....

Mahu jadi Insan yang memasak dalam 6 tunjang KEIMANAN dalam hati,
bukan hanya kerna ia adlah keperluan realiti,
tapi ia sebenarnya kewajipan seorang abdi.


~manusia menghayati kehidupan dari pelbagai aspek dan sudut,
bukan semua memandang kehidupan dengan pandanagn yang sama~

No comments :

Post a Comment